.
Dah dua malam berturut-turut aku mimpi kau.
Mimpi 1:
Kau dengan aku menjalinkan hubungan dalam senyap. Sumpah aku sayang kau gila babi dalam mimpi tu. Aku dapat rasa dalam mimpi tu, aku betul-betul bahagia bila bersama dengan engkau. Tapi, kita bersama dalam masa yang salah. Ketika itu, aku masih bersama dengan teman lelaki aku yang terkini, tapi aku tak kisah langsung menduakan dia sebab aku sayang kau. Aku ingat lagi ayat aku pada kau dalam mimpi tu,
"I sayang you, tapi I tak tahu nak break macam mana dengan boyfriend I. Dia baik gila"
Memang boyfriend aku baik gila. Dia lelaki yang paling sabar layan kerenah aku. Memang tak ada sebab yang munasabah langsung yang mampu aku fikirkan untuk aku memutuskan hubungan dengan dia, melainkan kau. Satu-satunya sebab yang boleh buat hubungan kami berantakan.
Dan dalam mimpi tu boyfriend aku dapat tahu pasal kita, dan dia mintak aku pilih, antara dia dan kau, mana satu yang aku lebih mahu.
Aku diam dan menangis. Aku gelisah sebab aku tak tahu nak pilih yang mana. Aku sayang kau, sumpah aku sayang kau sepenuh hati, tapi dalam masa yang sama aku bersama dengan lelaki yang paling baik dalam dunia. Lelaki yang sayang aku seadanya. Sedangkan kau, kisah silam aku. Kisah silam yang tak pernah aku mampu lupakan. Dan kau muncul tiba-tiba.
Aku tak mampu memilih kau kerana aku tak pasti samada kita ada masa depan bersama.
Aku tak mampu memilih dia kerana aku tahu hati aku cuma sayangkan kau dan tak mungkin aku mampu untuk menyayangi dia sepertimana aku menyayangi engkau. Aku rasa tak adil untuk dia bersama dengan aku.
Dan aku pula terlalu mementingkan diri sendiri. Hati aku terlalu mahu memilih engkau.
Mimpi aku berakhir dengan aku tak mampu memilih siapa pun.
Mimpi 2:
Aku masih dengan lelaki yang sama. Teman lelaki aku yang terkini. Tapi aku sedang berada di dalam dilema kerana aku sedang mencari kau. Mencari lelaki yang aku pernah sayangi suatu ketika dulu.
Kemudian kawan aku datang memberitahu, dia tahu di mana kau tinggal. Dia kata dia boleh bantu aku mencari kau. Aku setuju dan mula mencari.
Aku ternampak kelibat kau. Tapi kau kelihatan lain, lain sekali. Langsung tak seperti dahulu.
Aku bertanya pada orang sekeliling akan perihal diri kau. Rupanya semua orang mengenali kau, kecuali aku. Perempuan yang lama memendam rasa pada kau. Aku jadi hairan, kenapa hanya aku yang tak tahu tentang kedudukan di mana kau berada.
Kemudian seperti biasa, teman lelaki aku mendapat tahu perihal aku menghubungi kau dan kali ni dia bertekad mahu menamatkan hubungan ini andai benar aku masih mahukan kau.
Aku tak peduli soal hatinya lagi yang aku tahu aku sudah hampir dengan kau. Terlalu hampir. Aku bertekad aku tidak peduli sekiranya teman lelaki aku itu mahu menamatkan hubungan kami ini. Pada aku, aku cuma mahukan kau, kau seorang.
Aku terlihat kau lagi. Lantas aku menegur dan memperkenalkan diri aku kepada kau. Tak dapat aku nyatakan betapa aku gembira dapat menghubungi kau kembali.
Dan kau memandang aku seperti orang asing, dan menyatakan yang kau langsung tidak mengingati aku, apatah lagi mengenali aku. Aku tergamam. Ya, aku tahu wajahmu memang berlainan benar dengan kau yang aku kenali tapi aku fikirkan mungkin kerana faktor tumbesaran. Tapi bila kau kata kau tidak mengenali aku, hatiku sedikit robek.
Kami (aku dan seorang rakan bersama teman lelaki ku) pergi ke rumah mu untuk bertanyakan kepada ibu kau perihal kau. Ibu kau menyambut kami dengan gembira, dan hairannya dalam mimpi itu aku seperti berkawan dengan ibu mu sedangkan di alam realiti sekali pun kami tak pernah bertegur sapa.
Ibu kau mengeluarkan sijil kelahiran sebagai bukti kau adalah lelaki yang aku cari selama ini.
Namun hatiku hancur, nama yang tertera sebaliknya bukan nama kau, sebaliknya Fadhil Hassan yang lahir pada 4 August. Bukan kau, itu bukan nama dan tarikh lahir kau.
Aku menjadi sedih memikirkan yang aku gagal menjejak mu. Aku dapat lihat wajah si teman lelaki yang curi-curi memandang aku yang sedang sedih. Jelas terpampang di wajahnya wajah kesal kerana aku gagal menemui kau, namun aku tahu dia bersedih melihat kesungguhan aku menjejaki kau.
Aku masih tidak tahu perihal kesudahan hubungan aku dan si teman lelaki dalam mimpi ini, adakah kami masih bersama atau sebaliknya.
Dan hari ini, perempuan yang aku kenali sebagai perempuan paling rapat dalam hidup kau menghubungi aku. Dalam hati, aku berdoa agar dia memberi kau nombor aku. Dalam hati, aku berdoa kau masih mengingati aku lagi. Dalam hati, aku berdoa kau tidak peduli tentang status hubungan aku ini. Dalam hati aku berdoa kau masih mahukan aku untuk menjadi milikmu yang abadi.
Aku tahu angan-anganku ini tidak berpijak di bumi yang nyata. Kau dan aku sejarahnya terlalu lama. Waktu zaman kita masih mentah tak tahu apa-apa.
But, heart wants what a heart wants.
.